Create your own banner at mybannermaker.com!

Sukan Agen Penyatuan

1. Meletakkan kecemerlangan ilmu pengetahuan sebagai aspek utama dalam diri setiap individu.
2. Menambahkan peluang dan ruang untuk pendidikan, kerjaya, dan peningkatan taraf hidup.
3. Menunjukkan daya saing yang sihat dengan minda Kelas Pertama.
4. Pengisian rohani dan keseimbangan kehidupan bermasyarakat

'Penyokong Setia' telah menggantikan 'Penyokong Fanatik' di semua media tempatan. Dewasakan pemikiran dengan ilmu.

Sabtu, 18 September 2010

STADIUM RUNTUH, KESILAPAN JANGAN BERULANG

Peristiwa seperti ini berlaku bilamana terdapat kepentingan dan eksploitasi oleh pihak-pihak tertentu. Kecekapan dan kepekaan pihak penguatkuasa khususnya bahagian pengesahan sijil menduduki perlu teliti. Kepada mereka yang bersalah, perlu dibicarakan dan disenaraihitamkan sebagai kontraktor. Peristiwa ini bukan sahaja satu malapetaka bahkan imej negara juga turut terjejas.

Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin


Petikan Berita Stadium Runtuh.

Kegagalan semua pihak yang dilantik membina Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) di Gong Badak, Terengganu, mengikut spesifikasi yang ditetapkan dalam kontrak menjadi punca bumbung stadium itu runtuh pada 2 Jun lalu, kata Menteri Besar Terengganu, Datuk Ahmad Said.

Dalam kejadian tersebut, bumbung stadium yang menempatkan pintu A, B, dan B1 ke tempat duduk awam serta tempat duduk tetamu diraja serta orang kenamaan runtuh.

Ia berlaku selepas setahun stadium bernilai RM292 juta itu siap dibina dan menjadi venue utama sukan termasuk menjadi tuan rumah Sukan Malaysia (Sukma) 2008.

Menteri besar berkata, laporan kertas siasatan berhubung kejadian tersebut mendapati semua pihak yang dilantik membina stadium tersebut, menyumbang kepada keruntuhan bumbungnya.

"Tidak ada satu pihak pun yang ditunjukkan benar-benar paling bersalah. Semua bahagian pun ada (salah). Semua pihak menyumbang ke arah runtuhnya bumbung stadium itu," katanya.

Beliau mendedahkan laporan kertas siasatan kejadian itu selepas mempengerusikan mesyuarat mingguan Exco kerajaan negeri hari ini.

Bagaimanapun berkata, kontraktor utama adalah pihak yang bertanggungjawab penuh kerana telah mereka bentuk, membimbing dan membina struktur kerangka bumbung SMZA mengikut terma syarat reka dan bina.

"Sekarang ini berdasarkan penjanjian, kontraktor adalah orang yang bertanggungjawab sepatutnya. Kita (kerajaan negeri) akan ikut pada perjanjian," katanya.

Menurut laporan yang dikeluarkan oleh jawatankuasa penyiasat, Ahmad berkata punca utama bumbung stadium berkenaan runtuh adalah berikutan bahan dan kualiti hasil kerja yang tidak memenuhi spesifikasi, faktor reka bentuk yang tidak memadai dan bumbung yang tidak dibina dengan sempurna.

Beliau berkata kawalan kualiti yang tidak dilaksanakan di tapak projek serta pengawasan yang lemah semasa proses pembinaan stadium sedang dijalankan dan faktor kekurangan pekerja mahir juga menyumbang kepada kejadian tersebut.

Selain itu, Ahmad berkata kekurangan jurutera pakar dan konsultan yang berpengalaman selain sikap ambil mudah dan cuai di semua bahagian turut menjadi punca kepada kejadian itu.

"Masalah kita, kita selalu anggap apabila kita lantik konsultan, konsultan itu lebih hebat dari kita dan kita selalu ambil mudah. Bila ada sikap begitu, kita tidak akan periksa balik reka bentuk yang dicadangkan itu," katanya.

Sementara itu, ditanya sama ada notis telah dikeluarkan kepada kontraktor terbabit untuk menyelenggara semula stadium berkenaan, Ahmad berkata:" kontraktor dah dimaklumkan dan kita dah bagi notis kepada kontraktor supaya baiki semula, tapi (sehingga kini) masih belum ada jawapan".

Berikutan notis tersebut masih belum mendapat jawapan daripada kontraktor utama, beliau berkata tender bagi proses membersihkan dan penyelenggaraan runtuhan bumbung berkenaan akan dikeluarkan selewat-lewatnya minggu ini.

"Kita akan keluarkan tender secepat mungkin sebab kita dah setuju dalam minggu ini. Kita dan Jabatan Kerja Raya (JKR) akan keluarkan tender untuk kerja pembersihan.

"Kalau dah dibersihkan, kita tengoklah, kalau ia boleh digunakan, kita gunakanlah.

"Selain itu, kita juga kena tengok balik sama ada bangunan itu masih selamat atau tidak untuk digunakan," katanya.

Sumber : Bernama
Khamis, 2010 Mac 11

MUTU SUKAN NEGARA KITA BELUM CUKUP MEMBANGGAKAN



- Pencapaian atlet negara kurang memberangsangkan berbanding dengan zaman
kegemilangan Tan Aik Huang(badminton), Mokhtar Dahari (bola sepak)
dan M Jegathesan (olahraga) dahulu.
- Tiada sebarang pingat diperoleh dalam Sukan Komanwel di Australia baru-baru ini.
- Kita hanya gah pada peringkat Sukan SEA tetapi tidak mencapai pencapaian
membanggakan dalam kejohanan yang lebih besar.

Sebab-Sebab Pencapaian Tidak Membanggakan
1. Kekurangan atlet yang cemerlang kesan daripada kurang galakan daripada ibu bapa.
- Menurut majalah Mastika (2000), sebanyak 85% daripada ibu bapa kurang
menggalakkan anak mereka menceburi bidang sukan.
- Ibu bapa lebih mempercayai bahawa kecemerlangan dalam bidang akademik lebih
penting dalam menentukan kejayaan masa depan.
- Ibu bapa menganggap sukan tiada jaminan masa depan.
- Tidak banyak atlet cemerlang yang menyinar selepas aktif dalam bidang sukan.
- Ibu bapa melarang anak mereka kerana kekangan agama dan adat. Sebagai contoh,
sukan renang dan olahraga dianggap kurang sesuai untuk anak gadis mereka.

2. Amalan rasuah masih berleluasa dalam sukan.
- Rasuah sukan yang pernah menyerang sukan bola sepak pada tahun 1995 dahulu
menggemparkan rakyat Malaysia dan Singapura.
- Hampir 100 orang pemain bola sepak telah ditahan dan 80 orang daripada mereka
dikenakan tahanan reman dan 16 orang lagi dibuang daerah.
- Kes terbaharu , ada jurulatih yang bersubahat dengan “bookie” atau kaki judi untuk
menentukan perlawanan.
- Peminat dan ahli sukan mula menjauhi sukan dan menganggap sukan sebagai “kotor”.
- Kesannya, mutu sukan bola sepak merosot sehingga sekarang biarpun pelbagai program
dilaksanakan oleh Majlis Sukan Negara dan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

3. Kemudahan sukan belum mencukupi.
- Negara kita masih kekurangan gimnasium, dan kompleks sukan bertaraf dunia untuk
membolehkan atlet berlatih dengan selesa.
- Kita juga kekurangan jurulatih yang berkaliber, pakar pemakanan (diet),ahli
fisioterapi dan pakar psikologi untuk membantu meningkatkan prestasi atlet.
- Peralatan untuk latihan sudah usang dan aspek penyelenggaraan agak lemah.
- Pegawai sukan dan jurulatih kurang bersungguh-sungguh untuk merencanakan program
pembangunan sukan.

4. Ciri-ciri fizikal atlet tempatan.
- Atlet tempatan kita bersaiz kecil dan tidak dapat menandingi atlet negara lain
yang bersaiz besar. Keadaan fizikal ini tidak memberikan kelebihan
kepada atlet negara dalam bidang sukan seperti bola sepak, bola keranjang, ragbi
dan sebagainya.
- Atlet kita kurang stamina kerana corak pemakanan kita berbeza.
- Keadaan cuaca dan persekitaran juga menjejaskan persiapan atlet.

5. Krisis kewangan
- Kegawatan ekonomi pada tahun 1997 dan 1998 dahulu menjejaskan program pembangunan
sukan negara.
- Akhir-akhir ini sahaja kita mempunyai dana yang mencukupi untuk merangka
perancangan jangka panjang. Hasilnya belum lagi menampakkan hasil dalam setahun
dua ini.
- Kita juga kekurangan sumber untuk menghantar atlet berlatih di luar negara.
- Krisis ekonomi negara turut menyebabkan tidak banyak syarikat yang sanggup menaja
persatuan sukan dan atlet negara kita. Hakikat ini berbeza dengan atlet luar negara
yang mendapat penajaan besar daripada syarikat-syarikat konglomerat.
- Banyak usaha dan perancangan tidak dapat dilaksanakan kerana kurang peruntukan.

6. Faktor Luaran
- Prestasi atlet luar lebih pesat berbanding dengan atlet negara.
- Program pembangunan sukan mereka lebih agresif dan berkesan.
- Mereka mendapat sokongan yang padu daripada pemimpin dan rakyat.
- Mereka mempunyai kemudahan dan teknologi sukan yang lebih canggih.
- Sukan menjadi sumber pendapatan mereka.
- Penglibatan atlet asing dalam bidang sukan sudah lama sedangkan kita baru belajar
bertatih dalam sukan tertentu seperti tenis, lumba kereta, golf dan tinju.


- Masa belum lagi terlewat untuk kita meningkatkan inisiatif bagi meningkatkan
kecemerlangan mutu sukan negara.
- Komitmen haruslah bermula daripada kerajaan, dan disokong oleh rakyat, khusunya
ibu bapa dan sekolah.
- Kerjasama daripada semua pihak amatlah diperlukan dalam usaha memartabatkan
kembali imej negara khususnya dalam sukan tertentu seperti renang,
boling, badminton, sepak takraw dan bola sepak.
- Harapan kita agar lebih ramai atlet seperti Nicol David dapat dilahirkan oleh
negara kita.

Sumber: Scribd

KEWAJARAN USAHA KERAJAAN MEMAJUKAN SUKAN



Kepentingan sukan dalam kehidupan telah lama disedari oleh masyarakat dunia.
- Sejarah sukan bermula pada zaman masyarakat Greek purba lagi yang seterusnya
mengasaskan Sukan Olimpik.
- Di Malaysia sendiri, peruntukan yang besar untuk sukan disediakan setiap tahun
dalam Belanjawan atau Bajet Negara.

1. Bersukan dapat menyihatkan tubuh badan manusia.
- Segala kemudahan sukan yang disediakan oleh kerajaan adalah untuk kegunaan setiap
lapisan masyarakat.
- Apabila kemudahan sukan dimanfaatkan, kita dapat melahirkan rakyat yang sihat.
- Rakyat yang sihat akan mewujudkan tenaga kerja yang produktif untuk menggerakkan
ekonomi negara.
- Kajian menunjukkan bahawa sukan dapat mengelakkan seseorang daripada
serangan penyakit seperti strok, diabetes atau kencing manis, darah tinggi dan
barah.
- Sukan dapat membantu meningkatkan pengaliran darah dalam tubuh manusia hatta
menjadikan seseorang itu sihat dan bertenaga.
- Rakyat yang sihat penting untuk pembangunan ekonomi negara.

2. Perkembangan sukan juga memberikan peluang pekerjaan kepada penduduk.
- Kemajuan sukan menyebabkan kewujudan syarikat-syarikat pengeluar barangan sukan
seperti kasut, baju, stoking, raket, bola dan pelbagai produk sukan yang lain.
- Kedai-kedai sukan juga dibuka di setiap pelosok negara dan memberikan peluang
kepada rakyat untuk berniaga.
- Peluang pekerjaan dapat diwujudkan kepada rakyat negara ini di kilang-kilang
berasaskan produk sukan.
- Atlet sukan yang cemerlang seperti Shalin Zulkifli, Lee Chong Wei dan Nicol David
dapat menjadikan sukan sebagai sumber pendapatan melalui penajaan.
Mereka juga boleh menjadikan sukan sebagai profesion.

3. Pendapatan negara juga dapat ditingkatkan melalui sukan.
- Penganjuran Sukan Komanwel Ke-16 pada tahun 1998 dahulu menguntungkan negara dari
segi pendapatan.
- Kemasukan pelancong yang ramai menjana ekonomi negara.
- Hak penyiaran eksklusif melalui penganjuran sukan Formula 1 menguntungkan
penganjur.
- Industri sampingan seperti pengangkutan, makanan , media dan pelancongan turut
mendapat tempiasnya.
- Pelaburan asing juga dapat ditingkatkan dan Malaysia memperoleh keuntungan besar
dari segi tukaran wang asing.
- Oleh itu, tidak hairanlah setiap negara bersaing untuk menjadi penganjur sukan
bertaraf dunia seperti Kejohanan Bola Sepak Piala Dunia, Sukan Olimpik,
dan pelbagai kejohanan yang lain.

4. Sukan sebagai alat perpaduan dan perpaduan antarabangsa.
- Rakyat Malaysia terdiri daripada pelbagai kaum. Untuk mengeratkan hubungan antara
kaum yang pelbagai itu, sukan merupakan salah satu wadahnya.
- Sukan juga dapat mengikis rasa buruk sangka dalam kalangan pemain dan penonton.
- Semangat kerjasama dapat dipupuk dalam kalangan pemain.
- Pada peringkat antarabangsa, sukan dapat menjalin hubungan diplomatik dan
perbezaan ideologi politik.
- Keamanan dunia dapat dicapai jika setiap negara mengutamakan sukan.
- Sukan dapat mengukuhkan perpaduan umat dan mengikis perasaan perkauman.

5. Kegiatan sukan juga dapat mengurangkan kos perubatan untuk rakyat.
- Sukan menyihatkan rakyat, dan secara tidak langsung kerajaan dapat mengurangkan
kos perubatan untuk merawat rakyat.
- Peruntukan yang tinggi untuk kesihatan rakyat dapat dialih kepada sektor-sektor
lain yang lebih memerlukan untuk merealisasikan matlamat Wawasan 2020.
- Rakyat yang sihat tidak perlu lagi memikirkan kos perubatan
- Rakyat juga dapat menjimatkan pendapatan untuk kesejahteraan keluarga seperti
mendapatkan keperluan lain seperti makanan, tempat tinggal, pakaian dan melancong.

Prasarana sukan perlu diperbanyak untuk kegunaan rakyat.
- Persepsi rakyat terhadap sukan juga perlu diubah melalui pelbagai program pembangunan sukan.
- Rakyat perlu menyokong usaha kerajaan memajukan sukan.

Sumber: Scribd

Isnin, 13 September 2010

'Transformasi Sukan', ke arah satu industri


Usaha 'Transformasi Sukan' oleh Kementerian Belia dan sukan adalah langkah positif dalam memberi impak dan menjana pendapatan dalam industri sukan. Konvensyen Industri Sukan Malaysia dan Penubuhan Makmal Bidang Ekonomi Utama Kementerian (MKEA) Industri Sukan. Pembabitan Unit Prestasi dan Pelaksanaan (PEMANDU) dan MAMPU di bawah Jabatan Perdana Menteri memperlihatkan program ini mahu direalitikan sepenuhnya. Nilai import 'Freight On Board' (FOB) bagi peralatan sukan meningkat dari kadar RM1.4 bilion tahun 2008 menjadi RM3.07 bilion pada tahun 2009. Oleh itu, bagi pihak yang ingin menceburkan diri dalam industri sukan boleh mengorak langkah awal dan membuat perancangan dengan peluang yang bakal terhidang.