Create your own banner at mybannermaker.com!

Sukan Agen Penyatuan

1. Meletakkan kecemerlangan ilmu pengetahuan sebagai aspek utama dalam diri setiap individu.
2. Menambahkan peluang dan ruang untuk pendidikan, kerjaya, dan peningkatan taraf hidup.
3. Menunjukkan daya saing yang sihat dengan minda Kelas Pertama.
4. Pengisian rohani dan keseimbangan kehidupan bermasyarakat

'Penyokong Setia' telah menggantikan 'Penyokong Fanatik' di semua media tempatan. Dewasakan pemikiran dengan ilmu.

Rabu, 25 Disember 2013

Mengapa Kalah dan Terus Kalah

Mengapa Harimau Muda (Sukan Sea) dan Pasukan Hoki Remaja (Pertandingan Hoki Juara Remaja Dunia)tewas pada perlawanan penentuan tempat ketiga. Pasukan bola sepak sasarannya ke final. Pasukan hoki melepasi sasaran 6 kelompok terbaik dunia dan layak ke separuh akhir. Bagi bola sepak, kekalahan penentuan penalti dengan Indonesia di separuh akhir cukup memberi emosi kekalahan kepada pemain. Rentak permainan dengan Singapura pada penentuan tempat ketiga dan keempat jelas memperlihatkan ada sesuatu yang tidak kena kepada psikologi pemain. Kekalahan skuad hoki remaja juga pada peringkat separuh akhir cukup mengganggu persembahan pada penentuan tempat ketiga dan keempat. Bukan rentak sebenar. Kalah dengan jaringan 7-2. Analisis ini lebih cenderung kepada aspek psikologi hingga menjejaskan taktikal dan kemahiran individu secara berkumpulan. Pengurusan stress perlu diberi penekanan khusus untuk menghadapi suasana yang sama di masa akan datang.

Ahad, 27 Oktober 2013

Kualiti Kemahiran Bermula Daripada Keyakinan

Pergerakan dinamik, tidak statik seperti biasa. Episod pertembungan The Red Warriors dan The Gladiators yang mempamerkan aksi serang balas dan membuatkan penyokong setia kedua-dua pasukan menunggu keputusan dengan penuh debaran. Bekalan 2-1 dari Stadium Selayang akhirnya menjelmakan keputusan 2-2 di Stadium sultan Muhammad ke IV. Kedua-duanya berhak digelar juara. Aksi yang cukup menghiburkan dan dramatik hingga ke saat akhir perlawanan. Sukar untuk meramal bilamana ATM mendahului 2-0 pada aksi separuh masa pertama. Strategi kedua-dua pasukan nampak terancang dan mengikut plan jurulatih. Komitmen pemain cukup tinggi dengan disiplin percaturan jurulatih dan semangat kesukanan penonton telah pulih untuk menjurus kepada 'etika penonton' yang berkualiti. Para pemain bolasepak amnya boleh mencontohi taktikal ATM. Keyakinan mereka memberi pulangan yang berharga bilamana berjaya menjaringkan gol penyamaan agregat 3-3. Sekalung pujian juga boleh diberikan kepada Kelantan yang mula menaruh keyakinan dengan asakan berterusan sehingga mencipta peluang menjaringkan gol kemenangan untuk merubah keputusan kepada 4-3 secara agregat. Asas keyakinan yang digerakkan oleh jurulatih mampu memperlihatkan kualiti kemahiran pemain.

Sabtu, 19 Oktober 2013

PJK Biar Rancak, Jangan Nafi Ilmu Kesukanan

Pendidikan Jasmani dan Kesihatan perlu diajar mengikut silibus yang menepati Huraian Sukatan Pelajaran (HSP) dan Rancangan Pelajaran Tahunan (RPT). Umum mengetahui, kekangan utama PJK di sekolah adalah kemudahan yang agak terbatas. Walaupun begitu, kaedah dan teknik pengajaran boleh di atasi dengan menggunakan kepelbagaian sumber yang lain. Zaman ini, inovasi dianggap penting. Waktu PJK bukanlah untuk memberikan kepuasan pelajar untuk bermain dengan sewenang-wenangnya. Masa PJK adalah khusus untuk teori dan praktikal sahaja. Biar pelajar faham dengan jelas. Aplikasinya, bolehlah dipanjangkan dalam aktiviti kokurikulum melalui kelab-kelab sukan dan persatuan yang diwujudkan khusus di sekolah masing-masing. Apatah lagi pengenalan kepada Dasar 1 Murid 1 Sukan. Ilmu pengetahuan dan teknik yang dipelajari menerusi PJK boleh dipraktikkan untuk memajukan bidang sukan dan kokurikulum yang diceburi oleh pelajar. Jangan, bila sekolah tiada padang, alasan PJK tidak dapat dijalankan. Itu satu penafian kepada Ilmu Kesukanan pelajar. PJK juga dinilai dalam PBS.

Isnin, 7 Oktober 2013

Pengurusan Mood

Saya tertarik untuk mengupas mengenai mood sebelum pertandingan. Semasa ketiadaan mendiang Chua Boon Huat, pasukan hoki negara mendapat sokongan padu yang mana perlawanan hoki telah dihadiri oleh seluruh keluarga mendiang di tepi padang sebagai pembakar semangat. Hasilnya mood kesedihan itu membuatkan taktikal pasukan negara terganggu seketika sehingga pasukan lawan memperolehi gol awal. Begitu juga ketiadaan penjaga gol Johor yang tidak dapat bersama Pasukan Johor Darul Takzim (JDT) menentang Kelantan (TRW) kerana kematian anak tersayang, membuatkan rentak permainan Pasukan JDT juga tidak seperti biasa. Mungkinkah kerana emosi kesedihan? Sesi video 4 minit Presiden KAFA membangkitkan semangat luar biasa kepada pemain TRW sehingga dapat memanfaatkan setiap peluang yang terhidang. Dalam dua situasi emosi yang berbeza seperti itu, pihak pengurusan pasukan boleh menilai dan memahami dengan lebih mendalam. Kesedihan dan ingatan tidak salah untuk diingati, mungkin waktu dan masa untuk meratapinya bukan 1 minit sebelum wisel pertandingan bermula.

Sabtu, 29 Jun 2013

Penyatuan Penuh Makna di Sebalik Piala FA.

Kemenangan terus berpihak kepada Kelantan untuk Piala FA. Permainan 'under pressure' yang di alami oleh Johor Darul Takzim (JDT)dan strategi yang tidak tepat dalam kesebelasan pemain utama menyumbang kepada kekalahan mereka. Penguasaan dan dominasi barisan tengah Kelantan begitu menyokong kepada corak jentera serangan. Kekemasan barisan pertahanan juga ibarat kekukuhan barisan pemain Itali dalam Piala Konfederasi. Kelemahan barisan pertahanan JDT membuka ruang dan asakan bertali arus pemain Kelantan yang mana akhirnya gol awal dijelmakan seawal minit ke 15 perlawanan. Kehadiran penonton seimbang dan boleh dikatakan fenomena penonton yang paling baik dalam sejarah bola sepak di Malaysia. Sedikit teguran kepada situasi awal, yang mana lagu Negaraku dinyanyikan 'ala Jacylyn Victor". Mutu pengadilan amat memuaskan dan layangan kad kuning dilakukan tepat pada masa dan keadaan. Nampaknya, konvoi penyokong Kelantan pada kali ini akan terus meriah dengan laungan 'gomo kelate gomo' sepanjang perjalanan pulang yang cukup selesa atas kapasiti cuti yang diberikan oleh kerajaan Kelantan. Penyokong JDT juga telah menunjukkan kesetiaan mereka dan kekalahan ini amat baik sebagai ujian mereka untuk menerima dengan hati yang terbuka. Mungkin kekalahan ini boleh menjadi satu kebangkitan untuk pasukan mereka pada masa akan datang Di pentas utama, sekalian penonton dapat melihat pimpinan politik yang pelbagai ideologi dapat disatukan dan dijelmakan dalam bentuk perpaduan dan semangat penyatuan nasional. Justeru itu, sukan sebagai medium perpaduan memang benar dan satu realiti untuk terus dijulang dengan penuh makna.

Selasa, 4 Jun 2013

Dalam Sejuta Ada Pemimpin

Tan Sri Annuar Musa yang bersetuju dengan keberanian YB Khairy Jamaluddin (KJ) atas kapasitinya selaku Menteri Belia dan Sukan membuka minda peminat sukan tanahair. Ketegasan KJ agar perlu ada keterbukaan dalam bersuara asalkan tidak melampau batas dan menyentuh sensitiviti semua pihak amat dialu-alukan. Kepimpinan sukan memerlukan disiplin dan kemahiran untuk memacu kestabilan pentadbiran organisasi sukan. Mana-mana institusi dan pihak yang bertelagah dalam sukan,sekian kali dilihat menjadi punca dan penyebab kepada kegagalan dan kemunduran yang teramat dahsyat. Status 'juara' di mata dunia dalam sukan sepak takraw,badminton dan 'keunggulan' bola sepak negara kian ranap dan lakaran kejayaan lama yang dimamah usia. Selagi 'politiking' menguasai organisasi tertentu, selama itulah seluruh peminat sukan di buai harapan yang tidak pasti. Kepimpinan perlu dilatih walaupun satu dalam sejuta seorang pemimpin itu lahir dari bakat semulajadi. Kepimpinan memerlukan ilmu. Ilmu perlu dipelajari dan bertambah seiring usia. Dalam konteks ini, wawasan untuk berfikir jauh ke depan amat ditagih. Pemimpin yang mentadbir tanpa ilmu akan bertunjangkan kesesatan dan kemusnahan. Berilmu dan menjadikannya sebagai amalan amat dituntut untuk manfaat seisi dunia.

Khamis, 30 Mei 2013

Nisbah Jual Tiket Piala FA

Pengagihan 60 ribu tiket untuk penyokong Pahang dan 20 ribu tiket bagi pasukan Johor. Angka 60 dan 20 begitu ketara jurangnya. Apa kata 50-50. Seimbang bukan? Seandainya sehingga jam 5 petang jualan tiket masih tidak mencapai angka 50 ribu, barulah peruntukkan itu diberi peluang kepada penonton pihak lawan. Sudah tentu lebih nampak tertegaknya prinsip keadilan yang seimbang. Bertindak sebagai orang dewasa yang mampu memenuhi kehendak 2 anak tanpa ada yang merasa terpinggir. Dalam soal ini, pihak penjual tiket nampaknya masih belum matang dan tidak berfikir panjang. Situasi ini, adalah 'satu untuk kau' 'dua untuk aku'. Jadi, sungutan pihak yang merasakan mereka dianaktirikan memang boleh diterima secara logik. Jual tiket memang untung tapi berpijaklah di bumi yang nyata dan bijaklah dalam berperancangan.

Rabu, 29 Mei 2013

FAM Rasional kali ini

Kadar maksimum RM100 ribu terhadap Persatuan Bola Sepak Pahang sebagaimana yang diumumkan oleh Datuk Hamidin wajar. Denda ini pasti menempelak semua suara yang mengatakan FAM bias terhadap sesuatu pihak yang tertentu. Tindakan sebegini seharusnya boleh dipuji walaupun kejadian luar biasa ini kebetulannya berlaku di negeri Presiden FAM sendiri.Jumlah RM20 ribu kepada Persatuan Bola Sepak Johor kerana dikatakan bertindak keluar padang sebelum arahan dikeluarkan. Namun di pihak kem Johor, mereka sebenarnya lebih memikirkan soal keselamatan pemain. Tindakan penonton tanpa tiket yang memecahkan empat pintu masuk stadium adalah diluar normal perlakuan. Insiden di luar stadium juga tidak kurang mengeruhkan suasana kerana bas dan kereta persendirian dipecahkan cermin oleh tindakan biadap angkara fanatik dan kebodohan sendiri. Keputusan perlawanan ulangan akan diadakan pada 1 Jun 2013 di stadium berkecuali juga satu keputusan yang baik dan janji pemulangan wang tiket juga harus dipuji. Begitu profesional FAM bertidak kali ini.

Mekanisme Pengurusan Sukan

Syabas di atas pelantikan YB Khairy Jamaluddin sebagai Menteri Belia dan Sukan yang baru. Kepimpinan di usia muda yang mengetuai seluruh muda mudi di Malaysia. Sudah tentu harapan yang tinggi menggunung untuk melihat peningkatan dalam tadbir urus pengurusan sukan dan lakaran kejayaan atlit Malaysia di persada dunia. Umum mengetahui prestasi skuad bola sepak, badminton,sepak takraw seperti air pasang surut dan kadang-kadang tenggelam dibeberapa kejohanan penting. Menteri tidak harus berjuang seorang diri sebaliknya perlu menggerakkan seluruh jentera yang ada yang melibatkan kementerian itu sendiri dan persatuan sukan yang sedia ada. Sokongan penaja dan pihak NGO juga perlu diusahakan untuk merancakkan pembangunan dan latihan intensif bagi melahirkan atlit dan bakat baru yang berpotensi. Kejayaan tidak akan datang bergolek melainkan usaha yang konsisten ke arah itu dijalankan secara berterusan. Dalam mengharungi liku-liku pengurusan organisasi, kita selaku rakyat Malaysia perlulah turut sama terlibat dalam menyumbangkan idea dan kesukarelawan. Kritikan juga perlu tetapi perlu disertakan dengan alternatif bagaimana yang sepatutnya diaplikasikan. Kita tidak mahu hanya ada pihak yang mengkritik membuta tuli yang akhirnya menerbitkan kepincangan dan riuh rendah pertelingkahan sesama sendiri.

Fenomena Penonton

Lautan manusia sehingga sepak mula antara Johor Darul Takzim dan Pahang terpaksa ditangguhkan. Perkiraan utama adalah faktor keselamatan selepas 2 jam cuba ditangani oleh pengurusan stadium dan anggota keselamatan. DYMM Sultan Pahang sendiri mencemar Duli untuk turun bersama memberi ketenangan dan meminta kerjasama penonton yang hadir. Pengumuman daripada Pegawai Polis Daerah yang mengesahkan kawalan dan keselamatan terjamin menceriakan semua penonton di stadium dan melalui kaca televisyen. Namun, disebabkan tindakan liar mereka diluar stadium menghancurkan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh penonton di dalam stadium. Setelah provokasi balingan objek keras dari luar stadium berlaku, maka semua penonton terpaksa akur dengan keputusan yang telah dibuat. Perlawanan terpaksa ditunda ke tarikh yang belum dipastikan.Fenomena pertama ialah perlawanan Kelantan VS Negeri Sembilan di 'final' piala FA dulu. Kini fenomena kedua pada perlawanan Johor Darul Takzim VS Pahang. Keutamaan sekarang adalah 'bagaimana hendak mengurus kebangkitan kehadiran penonton ke stadium'.

Selasa, 26 Mac 2013

Time Reaction

Skuad Malaysia boleh dipuji jika menang dengan Palestin. Nampaknya tewas 0-2 pula. Jika diukur dengan status kewangan dan teknologi latihan, Malaysia lebih ke depan. Jika dianalisis spontan, teknik hantaran dan 'time reaction' agak menjadi masalah kepada pemain Malaysia. Sokongan penonton boleh dikira memuaskan. Prof. Dato Koo Kay Kim melalui petikan akhbar Sinar Harian mengatakan 'FAM berdosa' dengan alasannya masih mengguna pakai artikel statut 88 yang jelas menafikan sebarang kritikan dan ulasan terhadap badan bolasepak itu. Bermula dengan penggantungan Tan Sri Annuar Musa, Dato Seri Shahidan Kassim sehingga kepada Tengku Mahkota Johor. Penulis melihat senario ini bermula dengan tiadanya kesepakatan dan unsur bersatu sesama anggota dalam FAM itu sendiri. Statut 88 adalah alat yang mudah untuk menyingkirkan pihak yang terlebih cakap.

Rabu, 20 Mac 2013

Profesionalisme Itu Apa?

Hantaran tepat, kemahiran mengelecek yang bermutu dan rembatan kencang mula memperlihatkan kekuatan skuad hoki negara. Tewas dalam 3 saat terakhir pertandingan berdepan Australia memang sukar untuk diterima, tetapi itulah hakikat yang harus difahami. Biarpun tewas, harga yang cukup tinggi dengan pujian seluruh rakyat Malaysia dapat mengubati semula kekecewaan itu. Seharusnya komitmen dan semangat juang pemain perlu diteladani oleh pasukan kebangsaan yang lain. Apatah lagi skuad bola sepak negara yang sering kali dikritik kerana hilang sentuhan gemilang sebagaimana zaman 'Super Mokh' ketika dulu. Keyakinan dan kepercayaan peminat setia pasukan negara boleh dikembalikan bilamana nilai kepimpinan dan pengurusan seiring dengan kesungguhan pemain mempamerkan mutu permainan yang dikehendaki. Sedikit sayang rasanya, saat skuad negara meniti pembaharuan, barisan kepimpinan pula masih diselimuti dengan 'Artikel 88 Statut...' sehingga individu tertentu yang dilihat menyampaikan idea tetapi dihukum dengan label pengkritik yang perlu diketepikan. Nampaknya budaya untuk menerima pandangan secara terbuka masih tidak sesuai di Malaysia. Boleh dikatakan ianya sindrom yang tiada penawar untuk mengubati. Kalau kita fikir ke aras lebih tinggi, perdebatan dua calon untuk menjadi Presiden Amerika memang berapi dan sengit. Penuh kontroversi, tetapi selepas satu pihak diisyhtihar menang, pihak yang kalah dapat kompromi malahan turut dilantik menjawat jawatan penting kerajaan. Semangat kenegaraan mereka tinggi walaupun ideologi dan fahaman politik yang berlainan. Yang penting, idea dan kepimpinan pihak yang tewas masih dianggap penting dan memberi sumbangan terhadap negara. Contoh negara timur pula, pemimpin dengan rela hati dan penuh rasa tanggungjawab meletak jawatan bila mereka merasakan gagal melakukan yang terbaik dalam perkhidmatan. Masa masih ada untuk perbetulkan mana yang tidak perlu, bersatulah demi sukan negara.

Sabtu, 16 Mac 2013

Janji Sukan

Tidak semua orang melihat sukan itu bermanfaat. Ada yang tidak kisah dan ianya hanya satu perkara yang tidak perlu diutamakan dalam kehidupan. Buat apa bersukan sekiranya banyak kerugian dan kemusnahan yang berlaku. Pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian akibat serangan liar penonton. Dendam dan ketidakpuashatian yang sukar terpadam dari hati dan perasaan. Penghinaan dan jatuhnya maruah seseorang kerana kegagalan untuk memimpin dan kekejian akibat kekalahan yang berterusan. Jangan lupa, sukan begitu hebat dan penuh makna bilamana ianya berfungsi untuk penyatuan. Nilai kesetiaan terhadap pasukan idaman boleh mengajar kita erti kesabaran dan menghiburkan dikala kemenangan. Kata-kata laungan dan sokongan secara spontan pada semua penyokong meniupkan semangat kecintaan dan saling memahami antara satu sama lain sehingga menyerlahkan identiti kenegaraan dan patriotiknya warga Malaysia di mata dunia. Sukan boleh mendekatkan kasih sayang dan ikatan kekeluargaan. Sukaneka seringkali meriah dan mewarnai keakraban hidup bermasyarakat dalam keunikan kaum yang selamanya kita inginkan kedamaian. Sukan merealisasikan kecergasan dan kesihatan yang berpanjangan. Warga emas yang kita semua hargai pasti bertambah senyuman dan tidak terdedah risiko penyakit yang memerlukan pengawasan berterusan. Wang rakyat, wang kerajaan boleh dijimatkan dan tidak semata-mata menambah perbelanjaan untuk membekalkan ubat-ubatan yang sudah tentu kosnya tinggi. Saudara Islam secara tidak langsung mengikut sunnah Rasulullah yang mana sukan berkuda,memanah dan berenang menggambarkan sukan itu sendiri diberi keutamaan disamping memenuhi tuntutan akhirat. Saudara yang beragama selain dari Islam juga boleh menjadikan sukan sebagai riadah dan kebajikan yang menguntungkan dalam amalan kehidupan. Ruang solat, elemen kerohanian dan kesesuaian masa aktiviti sukan perlu disesuaikan untuk memberi perubahan kepada 'attitude' penyokong ke arah budaya yang lebih baik.

Selasa, 5 Mac 2013

Terimalah Hakikat

Kewartawanan Sukan mula memperlihatkan kematangan dalam penyampaian bahan berita mengenai sukan. Syabas diberikan kepada para wartawan sukan kerana laporan yang dianggap 'bias' sudah kurang mendapat tempat dalam catatan dan ulasan berita. Sesuatu isu yang melibatkan 'darjat dan kedudukan individu perlu dihormati dan tidak perlu ditakuti' sekiranya sesuatu isu panas itu melibatkan urusan pentadbiran sukan di Malaysia. Kejayaan dan peningkatan profesionalisme pentadbir sukan sesungguhnya memerlukan sokongan dan komitmen para ahlinya sendiri. Apatah lagi dengan kepuasan penyokong dan peminat sukan di seluruh tanah air. Setiap lantikan dan kepercayaan yang diberikan kepada mana-mana individu adalah bermula dengan harapan pelbagai pihak di peringkat akar umbi. Setiap pemimpin sukan yang dilantik harus berada diposisi jawatan selagi ahlinya ingin begitu, tetapi adalah lebih baik sekiranya kedudukan sendiri dikaji andainya reaksi kurang selesa terus diperlihatkan oleh sebahagian besar pengikut yang mula hilang kepercayaan dan sokongan telah bertukar kepada kritikan yang kurang enak didengar.

Ahad, 3 Mac 2013

Idea Yang Pedas Tidak Enak Didengar

Kebebasan bersuara dalam sukan memberikan impak besar terhadap kemajuan sukan itu sendiri. Mana-mana pihak yang lantang tidak berfakta harus diketepikan dan pihak yang berkaitan perlu menjelaskan segera terhadap isu yang dilontarkan. Kebijaksanaan dalam menjawab sebarang isu sensasi harus diterjemahkan dengan penuh profesional. Peranan Ahli Jawatankuasa Induk sesebuah badan sukan perlu berfungsi dengan baik dan perlu melakukan 'homework'terlebih dahulu. Sekiranya ahli jawatankuasa yang dilantik tidak diberi autoriti untuk bercakap, akan memperlihatkan kelemahan terhadap kewibaan badan sukan itu sendiri. Biarlah objektif, halatuju sesebuah institusi dapat dicapai dengan berkesan atas semangat kerja berpasukan. Kadang-kadang idea yang pedas begitu berguna walaupun tidak enak untuk didengar.