Create your own banner at mybannermaker.com!

Sukan Agen Penyatuan

1. Meletakkan kecemerlangan ilmu pengetahuan sebagai aspek utama dalam diri setiap individu.
2. Menambahkan peluang dan ruang untuk pendidikan, kerjaya, dan peningkatan taraf hidup.
3. Menunjukkan daya saing yang sihat dengan minda Kelas Pertama.
4. Pengisian rohani dan keseimbangan kehidupan bermasyarakat

'Penyokong Setia' telah menggantikan 'Penyokong Fanatik' di semua media tempatan. Dewasakan pemikiran dengan ilmu.

Selasa, 26 Mac 2013

Time Reaction

Skuad Malaysia boleh dipuji jika menang dengan Palestin. Nampaknya tewas 0-2 pula. Jika diukur dengan status kewangan dan teknologi latihan, Malaysia lebih ke depan. Jika dianalisis spontan, teknik hantaran dan 'time reaction' agak menjadi masalah kepada pemain Malaysia. Sokongan penonton boleh dikira memuaskan. Prof. Dato Koo Kay Kim melalui petikan akhbar Sinar Harian mengatakan 'FAM berdosa' dengan alasannya masih mengguna pakai artikel statut 88 yang jelas menafikan sebarang kritikan dan ulasan terhadap badan bolasepak itu. Bermula dengan penggantungan Tan Sri Annuar Musa, Dato Seri Shahidan Kassim sehingga kepada Tengku Mahkota Johor. Penulis melihat senario ini bermula dengan tiadanya kesepakatan dan unsur bersatu sesama anggota dalam FAM itu sendiri. Statut 88 adalah alat yang mudah untuk menyingkirkan pihak yang terlebih cakap.

Rabu, 20 Mac 2013

Profesionalisme Itu Apa?

Hantaran tepat, kemahiran mengelecek yang bermutu dan rembatan kencang mula memperlihatkan kekuatan skuad hoki negara. Tewas dalam 3 saat terakhir pertandingan berdepan Australia memang sukar untuk diterima, tetapi itulah hakikat yang harus difahami. Biarpun tewas, harga yang cukup tinggi dengan pujian seluruh rakyat Malaysia dapat mengubati semula kekecewaan itu. Seharusnya komitmen dan semangat juang pemain perlu diteladani oleh pasukan kebangsaan yang lain. Apatah lagi skuad bola sepak negara yang sering kali dikritik kerana hilang sentuhan gemilang sebagaimana zaman 'Super Mokh' ketika dulu. Keyakinan dan kepercayaan peminat setia pasukan negara boleh dikembalikan bilamana nilai kepimpinan dan pengurusan seiring dengan kesungguhan pemain mempamerkan mutu permainan yang dikehendaki. Sedikit sayang rasanya, saat skuad negara meniti pembaharuan, barisan kepimpinan pula masih diselimuti dengan 'Artikel 88 Statut...' sehingga individu tertentu yang dilihat menyampaikan idea tetapi dihukum dengan label pengkritik yang perlu diketepikan. Nampaknya budaya untuk menerima pandangan secara terbuka masih tidak sesuai di Malaysia. Boleh dikatakan ianya sindrom yang tiada penawar untuk mengubati. Kalau kita fikir ke aras lebih tinggi, perdebatan dua calon untuk menjadi Presiden Amerika memang berapi dan sengit. Penuh kontroversi, tetapi selepas satu pihak diisyhtihar menang, pihak yang kalah dapat kompromi malahan turut dilantik menjawat jawatan penting kerajaan. Semangat kenegaraan mereka tinggi walaupun ideologi dan fahaman politik yang berlainan. Yang penting, idea dan kepimpinan pihak yang tewas masih dianggap penting dan memberi sumbangan terhadap negara. Contoh negara timur pula, pemimpin dengan rela hati dan penuh rasa tanggungjawab meletak jawatan bila mereka merasakan gagal melakukan yang terbaik dalam perkhidmatan. Masa masih ada untuk perbetulkan mana yang tidak perlu, bersatulah demi sukan negara.

Sabtu, 16 Mac 2013

Janji Sukan

Tidak semua orang melihat sukan itu bermanfaat. Ada yang tidak kisah dan ianya hanya satu perkara yang tidak perlu diutamakan dalam kehidupan. Buat apa bersukan sekiranya banyak kerugian dan kemusnahan yang berlaku. Pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian akibat serangan liar penonton. Dendam dan ketidakpuashatian yang sukar terpadam dari hati dan perasaan. Penghinaan dan jatuhnya maruah seseorang kerana kegagalan untuk memimpin dan kekejian akibat kekalahan yang berterusan. Jangan lupa, sukan begitu hebat dan penuh makna bilamana ianya berfungsi untuk penyatuan. Nilai kesetiaan terhadap pasukan idaman boleh mengajar kita erti kesabaran dan menghiburkan dikala kemenangan. Kata-kata laungan dan sokongan secara spontan pada semua penyokong meniupkan semangat kecintaan dan saling memahami antara satu sama lain sehingga menyerlahkan identiti kenegaraan dan patriotiknya warga Malaysia di mata dunia. Sukan boleh mendekatkan kasih sayang dan ikatan kekeluargaan. Sukaneka seringkali meriah dan mewarnai keakraban hidup bermasyarakat dalam keunikan kaum yang selamanya kita inginkan kedamaian. Sukan merealisasikan kecergasan dan kesihatan yang berpanjangan. Warga emas yang kita semua hargai pasti bertambah senyuman dan tidak terdedah risiko penyakit yang memerlukan pengawasan berterusan. Wang rakyat, wang kerajaan boleh dijimatkan dan tidak semata-mata menambah perbelanjaan untuk membekalkan ubat-ubatan yang sudah tentu kosnya tinggi. Saudara Islam secara tidak langsung mengikut sunnah Rasulullah yang mana sukan berkuda,memanah dan berenang menggambarkan sukan itu sendiri diberi keutamaan disamping memenuhi tuntutan akhirat. Saudara yang beragama selain dari Islam juga boleh menjadikan sukan sebagai riadah dan kebajikan yang menguntungkan dalam amalan kehidupan. Ruang solat, elemen kerohanian dan kesesuaian masa aktiviti sukan perlu disesuaikan untuk memberi perubahan kepada 'attitude' penyokong ke arah budaya yang lebih baik.

Selasa, 5 Mac 2013

Terimalah Hakikat

Kewartawanan Sukan mula memperlihatkan kematangan dalam penyampaian bahan berita mengenai sukan. Syabas diberikan kepada para wartawan sukan kerana laporan yang dianggap 'bias' sudah kurang mendapat tempat dalam catatan dan ulasan berita. Sesuatu isu yang melibatkan 'darjat dan kedudukan individu perlu dihormati dan tidak perlu ditakuti' sekiranya sesuatu isu panas itu melibatkan urusan pentadbiran sukan di Malaysia. Kejayaan dan peningkatan profesionalisme pentadbir sukan sesungguhnya memerlukan sokongan dan komitmen para ahlinya sendiri. Apatah lagi dengan kepuasan penyokong dan peminat sukan di seluruh tanah air. Setiap lantikan dan kepercayaan yang diberikan kepada mana-mana individu adalah bermula dengan harapan pelbagai pihak di peringkat akar umbi. Setiap pemimpin sukan yang dilantik harus berada diposisi jawatan selagi ahlinya ingin begitu, tetapi adalah lebih baik sekiranya kedudukan sendiri dikaji andainya reaksi kurang selesa terus diperlihatkan oleh sebahagian besar pengikut yang mula hilang kepercayaan dan sokongan telah bertukar kepada kritikan yang kurang enak didengar.

Ahad, 3 Mac 2013

Idea Yang Pedas Tidak Enak Didengar

Kebebasan bersuara dalam sukan memberikan impak besar terhadap kemajuan sukan itu sendiri. Mana-mana pihak yang lantang tidak berfakta harus diketepikan dan pihak yang berkaitan perlu menjelaskan segera terhadap isu yang dilontarkan. Kebijaksanaan dalam menjawab sebarang isu sensasi harus diterjemahkan dengan penuh profesional. Peranan Ahli Jawatankuasa Induk sesebuah badan sukan perlu berfungsi dengan baik dan perlu melakukan 'homework'terlebih dahulu. Sekiranya ahli jawatankuasa yang dilantik tidak diberi autoriti untuk bercakap, akan memperlihatkan kelemahan terhadap kewibaan badan sukan itu sendiri. Biarlah objektif, halatuju sesebuah institusi dapat dicapai dengan berkesan atas semangat kerja berpasukan. Kadang-kadang idea yang pedas begitu berguna walaupun tidak enak untuk didengar.