Create your own banner at mybannermaker.com!

Sukan Agen Penyatuan

1. Meletakkan kecemerlangan ilmu pengetahuan sebagai aspek utama dalam diri setiap individu.
2. Menambahkan peluang dan ruang untuk pendidikan, kerjaya, dan peningkatan taraf hidup.
3. Menunjukkan daya saing yang sihat dengan minda Kelas Pertama.
4. Pengisian rohani dan keseimbangan kehidupan bermasyarakat

'Penyokong Setia' telah menggantikan 'Penyokong Fanatik' di semua media tempatan. Dewasakan pemikiran dengan ilmu.

Sabtu, 29 Ogos 2009

Kajian Kes Mengenai Pesakit Kecelaruan Kebimbangan Biasa (Generalized Anxiety Disorder) akibat daripada penyakit Marfan (Marfan Syndrome)

Abstrak

Kajian ini menunjukkan seorang pesakit yang mengalami tekanan mental atau lebih dikenali sebagai ‘mental disorder’ akibat penyakit ‘Marfan Syndrome’. Perkaitan antara keduanya begitu rapat dan sukar dipisahkan. Kajian yang dijalankan adalah melalui kaedah temubual. Pesakit ini diminta menjelaskan jenis penyakit yang dialami, tekanan yang mempengaruhi emosi dan mentalnya, mengingati sejarah kehidupannya, latar belakang pendidikan, perjalanan kehidupannya pada masa sekarang dan cara pesakit mengatasi tekanan yang dihadapi. Temubual diadakan di rumah pesakit diatas permintaannya sendiri dan pesakit meletakkan syarat agar identiti sebenar seperti namanya tidak didedahkan secara langsung. Dapatan kajian menunjukkan bahawa, pesakit ‘Marfan Syndrome’ mempunyai masalah psikologi sehingga mewujudkan tekanan mental. Kajian juga mendapati, tekanan mental yang dihadapi boleh dirawat bilamana pesakit itu sendiri mengenalpasti dan menyedari masalah yang dialami. Kajian ini telah mengenalpasti bahawa sokongan keluarga dan kerahsiaan maklumat oleh keluarganya itu telah menjadikan pesakit tidak malu untuk berdepan dengan masyarakat. Keyakinan yang tinggi terhadap pegangan agama mengetepikan segala tekanan, keresahan, kemurungan, ketakutan dan rendah diri.

Pengenalan
1.1 Latar Belakang Kajian
Pesakit ini telah mengalami sejenis penyakit ‘Marfan Syndrome’ dan akhirnya telah menyebabkan kewujudan fenomena baru ke atas dirinya iaitu Kecelaruan Kebimbangan Biasa (Generalized Anxiety Disorder). ‘Marfan Syndrome’ ialah keadaan yang diwarisi yang memberi kesan kepada tisu penyambung. Fungsi utama tisu penyambung ialah memegang tubuh bersama dan menyediakan rangka untuk tumbesaran dan perkembangan. Bagi kes Marfan Syndrome, tisu penyambung cacat dan tidak berfungsi seperti sepatutnya. Oleh kerana tisu penyambung didapati seluruh tubuh, Marfan Syndrome boleh memberi kesan kepada sistem badan, termasuklah tulang rangka, mata, hati dan saluran darah, sistem saraf, kulit dan paru-paru.
Ia memberi kesan kepada lelaki, perempuan dan kanak-kanak. Ia juga didapati di kalangan manusia pelbagai bangsa dan etnik. Dianggarkan sekurang-kurangnya 1 dalam 5000 orang di Amerika Syarikat mengalaminya. Bagi kes di Malaysia, data terkini tidak dapat diperolehi, hanya pesakit kajian kes ini merupakan kes pertama bagi HUKM.
Kecelaruan Kebimbangan Biasa (Generalized Anxiety Disorder) adalah kebimbangan mengenai pengalaman kehidupan setiap hari. Ia melibatkan keadaan penjagaan sehingga menyebabkan terjadinya perkara dramatik semasa kanak-kanak atau persekitaran yang tidak diramalkan seperti biasa. Kebimbangan berterusan mengenai pelbagai isu yang benar-benar berlaku atau hanya imaginasi. Kecelaruan Kebimbangan Biasa (GAD) merupakan sebahagian daripada cabang Kecelaruan Kebimbangan (Anxiety Disorder). Biasanya ia boleh diwarisi dan mungkin juga disebabkan tekanan yang besar.
Individu yang mengalami ‘anxiety’ selama sekurang-kurangnya satu bulan tanpa sebab yang khusus akan dikategorikan sebagai mengalami kecelaruan kebimbangan biasa. Satu contoh tentang kecelaruan ini ialah apabila seseorang itu mempunyai perasaan bimbang atau gelisah pada sepanjang masa dan antara perasaan ini adalah seperti yang dicatatkan di bawah;
Saya sering diganggu apabila degupan jantung meningkat
Gangguan-gangguan kecilan mengganggu diri saya.
Saya sering merasa takut tanpa sebab yang logikal.
Saya selalu rungsing dan ini menyebabkan saya bersedih.
Saya kerap rasa penat dan lesu.
Saya sering menghadapi kesukaran untuk memuat sesuatu keputusan.
Kadangkala suasana di sekeliling menakutkan.
Saya selalu mengalami ketakutan dan kerungsingan.
Saya selalu merasa saya tidak berupaya mengatasi masalah yang dihadapi.
Saya kerap merasai diri tertekan.

1.1.1 Latar Belakang Pesakit
Pesakit ini dilahirkan pada 28 Disember 1978 di sebuah daerah di negeri Kelantan. Anak kepada seorang kakitangan kerajaan yang bekerja sebagai pemandu Jabatan Kerja Raya Malaysia dan ibunya sebagai suri rumah sepenuh masa. Memandangkan pendapatan ibu bapanya yang tidak seberapa, peluang untuk mendapatkan rawatan secara terus daripada pakar swasta tidak kesampaian.
Bermula pada 21 Disember 1985 beliau telah dikenal pasti mempunyai satu penyakit yang perlu diberi perhatian yang khusus. Kes beliau telah dirujuk ke Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian Kota Bharu. Akhirnya, disebabkan keseriusan penyakit yang dialami, beliau telah diletakkan sebagai ‘special patient’ di bawah pengawasan Dr. Zulkurnai iaitu pakar perubatan yang khusus dalam penyakit ‘Marfan Syndrome’. Sementara doktor yang memberi rawatan secara terus kepada beliau ialah Dr. Lee Yeong Yeh. Melalui pengamatan doktor, beliau dinasihatkan tidak melakukan aktiviti yang berat atau melebihi beban yang sepatutnya kerana injap jantungnya agak lemah.
Keadaan fizikalnya begitu kurus, ketinggian yang begitu ketara dan kurang bermaya. Pada pandangan mata pihak luar, mereka boleh menjangkakan bahawa beliau sememangnya mempunyai penyakit. Pesakit ini begitu pemalu dan tidak berani untuk berdepan dengan masyarakat kerana bentuk fizikalnya itu. Perkara ini telah menjadi tekanan yang keterlaluan pada masa-masa tertentu dan terlalu pasif jika dibiarkan berterusan.
Gambaran ini berlanjutan sehingga beliau berada di Universiti. Beliau hanya keluar dari bilik penginapan semata-mata untuk hadir ke kuliah. Demam dan kelesuan dalam badan sering terjadi. Hanya ubat-ubatan sahaja yang mampu meredakan keadaan. Suara-suara perli secara tidak langsung sampai juga ke pendengarannya. Keadaan ini menyebabkan beliau begitu tertekan dan sering menangis tidak bersebab. Kehadiran ahli keluarga terdekat pada hari-hari kelapangan atau cuti, memang memainkan peranan yang besar terhadap kehidupannya.
Semasa melalui sesi temubual, seperti ada perkara yang masih ingin disembunyikan. Apa yang dapat dinyatakan di sini ialah perkaitannya dengan ‘skizofrenia.’ Setelah difahami maksudnya, pesakit ini pernah mengalami keadaan ini kerana tertekan dengan suasana persekitaran dan keadaan dirinya yang tidak normal seperti orang lain.
Panggilan seperti ‘gila, otak mereng dan tidak siuman’ menyebabkan ramai pesakit tidak mendapatkan rawatan, walaupun menyedari mereka menghadapi masalah gangguan fikiran. Malah, panggilan itu membuatkan ramai rasa malu dan bimbang pandangan serong masyarakat sehingga sanggup menyembunyikan ahli keluarga yang ‘sakit’
Masalah utama yang belum dapat diatasi ialah perasaan malu ibu bapa untuk mengakui anak mereka mengalami gangguan mental seperti skizofrenia iaitu penyakit mental serius, sedangkan tindakan itu sebenarnya hanya memburukkan keadaan. Malah, menyembunyikan pesakit bermakna menafikan hak mereka untuk menjalani kehidupan normal seperti orang lain.
Schizofrenia dianggap antara gangguan mental yang biasa dan dianggarkan membabitkan satu peratus daripada jumlah penduduk atau 250,000 orang. Paling memeranjatkan, ia kerap melanda golongan muda dan lebih ramai lelaki muda mengalami schizofrenia pada umur 15 hingga 30 tahun berbanding wanita. Di seluruh dunia, dianggarkan 24 juta pesakit mengalami masalah ini.
Perunding Psikiatri, Jabatan Perubatan Psikologi PPUM, Dr Ahmad Hatim Sulaiman, berkata skizofrenia adalah gangguan mental yang kronik dan serius diakibatkan ketidakseimbangan atau kecelaruan bahan kimia otak. Ia menjejaskan keupayaan pesakit untuk berfikir yang secara tidak langsung menyebabkan kualiti kehidupan merosot.
Menurut Perunding Psikiatri dan Epidemiologi Klinikal, Jabatan Psikiatri dan Kesihatan Mental Hospital Kuala Lumpur, Dr Salina Abdul Aziz, pesakit lelaki paling ramai mengalami masalah schizofrenia ketika berumur 21 hingga 30 tahun dan bagi wanita insiden boleh berlaku pada dua peringkat umur iaitu antara 21 hingga 30 tahun dan 31 hingga 40 tahun.

Menguruskan Tekanan Dalam Kehidupan
Disebabkan ibu bapanya tidak mewar-warkan penyakit sebenar yang dialaminya, ia tetap terpelihara sebagai rahsia keluarga yang tidak perlu dikongsi dengan sesiapa sahaja. Bagi mereka, penderitaan dan beban yang ditanggung terpaksa dipikul dan telah menjadi suratan takdir untuk menerima hakikat itu sebagai dugaan hidup.
Setelah melalui waktu-waktu yang terdahulu, beliau semakin matang dalam tindakan hariannya. Banyak maklumat mengenai pengurusan stress dibaca dan cuba dipraktikkan setiap waktu.
Beliau semakin faham dengan amalan gaya hidup sihat yang merangkumi pengambilan makanan seimbang, kerap bersenam, cukup tidur dan mendekatkan diri dengan agama antara cara terbaik untuk menangani tekanan.
Bagaimanapun, kehidupan yang sempurna sukar dimiliki jika tiada kesungguhan untuk melaksanakannya. Tanpa disedari, tekanan menjadi elemen penting dalam hidup semua orang, termasuk dirinya sendiri.
Tekanan menjadi pewarna dan perencah kehidupan kerana tanpa tekanan hidup kita jadi hambar. Namun, tekanan yang berlebihan dan tidak diuruskan dengan baik boleh mendatangkan kemudaratan.
Tekanan menyebabkan kita cepat letih, resah, risau, tekanan darah meningkat dan ada yang melegakan perasaan dengan makanan sehingga tidak sedar mereka sebenarnya makan terlalu banyak.

1.1.2 Sejarah Pendidikan Pesakit
Zaman persekolahan hanyalah di sebuah sekolah yang berasaskan kampung sahaja. Perwatakan pada zaman kanak-kanak tidaklah begitu seriang rakan sebaya yang lain kerana halangan kesihatan yang dialami. Namun keinginan untuk berkongsi keseronokan kadang-kadang melebihi dari tahap kesabaran. Oleh itu, beliau kerap mencuri masa untuk bermain bersama rakan sejiran tanpa memaklumkan kepada ibu bapanya. Di sebalik kedhaifan kewangan keluarga, beliau mencapai keputusan 3A dalam keputusan Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR). Kecemerlangan itu diteruskan lagi melalui Peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) dengan mendapat keputusan 3A dan 6B. Kecemerlangan itu diteruskan pula melalui Peperiksaan Sijl Pelajaran Malaysia (SPM) dengan mendapat pangkat 1. Diperingkat STPM pula beliau mendapat 3A dan 2C. Pada tahun 1999 beliau berjaya melanjutkan pelajaran di Universiti Kebangsaan Malaysia. Semasa berada di UKM, keadaan fizikal beliau agak kurus dan kurang melibatkan diri dalam aktiviti kampus.

1.1.3 Peralihan Pesakit Marfan Kepada Kecelaruan Kebimbangan
Biasa (Generalized Anxiety Disorder)
Keadaan ini adalah disebabkan ketidakseimbangan hormone yang berlaku di dalam badan.Melibatkan set reaksi neurological dan physiological terhadap stress. Hans Selye (1985) mendefinisikan stress sebagai tidak spesifik yang terjadi kerana pelbagai jenis penyebab stress. Seterusnya beliau telah memfokus terhadap aspek dalaman stress. Selye mendapati seseorang yang mengalami stress yang berpanjangan melalui tiga fasa: reaksi amaran (alarm reaction), peringkat penentangan (stage of resistance) dan keletihan (exhaustion). Beliau memberikan istilah bagi set tindakbalas ini sebagai General Adaptation Syndrome(GAS)-Sindrom adaptasi umum.Tindak balas umum terhadap stress ini dilihat sebagai satu set reaksi yang menggerakkan sumber-sumber organisma untuk menghadapi ancaman segera.
Reaksi amaran adalah sama dengan tindak balas dengan melawan-atau melarikan diri (fight-or-flight) dan ia termasuklah pelbagai tindak balas neurological dan physiological apabila berkonfrontasi dengan penyebab stress. Apabila satu ancaman dirasakan , hypothalamus, akan mengeluarkan signal terhadap kedua-dua system saraf sympathetic and pituitary. Sistem saraf symphatetic merangsang urat adrenalin. Urat adrenalin akan melepaskan corticosteroids untuk meningkatkan hormone adrenocorticotrophic (ACTH) yang juga akan memberi kesan terhadap urat adrenal. Urat adrenal kemudian akan melepaskan epinephrine dan norepinephrine yang memanjangkan tindak balas melawan –atau-melarikan diri. (fight-or-flight).
Peringkat penentangan ialah keadaan bangun atau bangkit yang berterusan. Jika situasi stress berpanjangan, tahap hormone yang tinggi semasa fasa penentangan mungkin mengecewakan homeostasis dan membahayakan organ dalaman menyebabkan organism terdedah kepada penyakit. Terdapat bukti daripada kajian haiwan bahawa urat adrenal sebenarnya saiznya akan meningkat semasa tahap penentangan yang akan memantulkan aktiviti yang berpanjangan.
Peringkat keletihan berlaku selepas penentangan yang berpanjangan. Pada peringkat ini, tenaga badan yang tersimpan akhirnya akan lemah dan kerosakan akan berlaku. Selye mendapati bahawa dalam diri manusia , banyak penyakit terpendam atau disebabkan oleh stress berlaku dalam peringkat penentangan dan beliau merujuk nya sebagai penyakit adaptasi (disease of adaptation). Penyakit-penyakit ini termasuklah sakit kepala, insomnia, tekanan darah tinggi dan penyakit buah pinggang dan kardiovaskular. Umumnya, sistem saraf pusat dan tindak balas hormone membantu adaptasi. Walaupun begitu, ia kadangkala membawa kepada penyakit terutamanya apabila keadaan stress berpanjangan atau mendalam.

1.1.4 Senario Kehidupan Terkini
Disember 2005 telah merubah sedikit perjalanan hidup pesakit. Dalam keadaannya yang sedikit berbeza dengan insan biasa beliau telah melayari kehidupan berumah tangga. Berasaskan konsep ‘jodoh di tangan tuhan’, beliau dipertemukan dengan seorang pemuda yang bertanggungjawab dan memenuhi ciri sebagai seorang suami seperti kehendak ramai wanita biasa. Bertugas sebagai seorang guru di sebuah sekolah rendah di Kuala Lumpur sememangnya menuntut kesabaran yang tinggi. Walaupun telah berumah tangga, suaminya jauh terpisah berada di negeri Kelantan kerana tiada cawangan pertukaran kerjanya. Di sini, pesakit mengalami banyak tekanan dari segi emosi. Keinginan untuk mendapatkan seorang anak begitu berkobar-kobar tetapi malangnya sering negatif akibat keguguran. Kegagalan jantung akibat ‘Marfan Syndrome’ mengecewakan harapan pesakit. Pernah pesakit menderita begitu teruk kerana proses mencuci janin yang mati dalam peranakan.
Berasaskan keyakinan yang tinggi terhadap tuhan, beliau mengetepikan saranan doktor yang menghalang beliau daripada mengandung. Semasa temubual ini diadakan pesakit sedang hamil 6 bulan. Beliau tabah walaupun kekerapan untuk beliau berulang alik ke Hospital UKM begitu tinggi. Hidup berdikari tanpa suami disisi memang satu keadaan yang sukar. Hanya telefon bimbit menjadi alat penghubung antara satu sama lain. Pakar HUSM yang memantau kes beliau cemas dan mengeluarkan surat agar beliau diberi kelonggaran untuk bertukar berkhidmat di negeri Kelantan. Malangnya, pihak Kementerian Pelajaran berdolak dalik dan akhirnya diam menyepi tanpa meluluskan pertukaran. Serangan emosi dan tekanan mental yang dialami pada waktu itu begitu memuncak dan seringkali bercuti dari tugasan mengajar.
Rasa kesyukuran setelah berjaya mengandung tidaklah menghilangkan tekanan. Jelas kerisauan terhadap kandungannya di tahap akhir nanti sering menghantui fikirannya. Doktor HUKM mengesyorkan agar beliau menjalani kaedah ‘caesarian’ (pembedahan) untuk mengeluarkan bayinya. Ini adalah kerana, jantung beliau tidak begitu kuat untuk mengharungi detik mencemaskan jika bersalin seperti keadaan normal.

1.1.5 Rawatan Yang Diterima
Pesakit telah menjalani prosedur di Hospital Universiti Sains Malaysia di Kubang Kerian Kota Bharu Kelantan dimana kesnya dirujuki. Pakar mengeluarkan satu surat kepada pihak Hospital Kebangsaan Universiti Kebangsaan Malaysia Kuala Lumpur (HUKM) untuk memaklumkan segala butiran kes pesakit termasuk pencapaiannya. Banyak ubatan yang dibekalkan bagi menyokong keperluan fisiologi badan bagi peningkatan kesihatannya dan bayi yang dikandung.


1.1.6 Menguruskan Tekanan Dalam Kehidupan
Amalan gaya hidup sihat yang merangkumi pengambilan makanan seimbang, kerap bersenam, cukup tidur dan mendekatkan diri dengan agama antara cara terbaik untuk menangani tekanan.
Bagaimanapun, kehidupan sukar dimiliki jika tiada kesungguhan untuk melaksanakannya. Tanpa disedari, tekanan menjadi elemen penting dalam hidup semua orang, termasuk kanak-kanak.
Tekanan menjadi pewarna dan perencah kehidupan kerana tanpa tekanan hidup kita jadi hambar. Namun, tekanan yang berlebihan dan tidak diuruskan dengan baik boleh mendatangkan kemudaratan.
Tekanan menyebabkan kita cepat letih, resah, risau, tekanan darah meningkat dan ada yang melegakan perasaan dengan makanan sehingga tidak sedar mereka sebenarnya makan terlalu banyak.


1.2 Pernyataan Masalah
Umum mengetahui bahawa penghidap ‘Marfan Syndrome’ akan berdepan dengan pelbagai masalah dalam kehidupan. Bagi pesakit ini, beliau menjadikan penyakit dan penderitaan yang dialami sebagai ‘kerahsiaan kekal’ yang tidak mahu dikongsi dengan sesiapa jua. Keyakinannya terhadap pengkaji yang dapat menyembunyikan identiti sebenar telah membuka sedikit ruang kepada pihak umum untuk mengetahui secara lebih lanjut mengenai ‘Marfan Syndrome’ yang akhirnya membawa kepada tekanan mental yang dikategorikan sebagai ‘Generalized Anxiety Disorder’. Jika pengkaji di Malaysia ingin maklumat lanjut mengenai penyakit ini, tidak banyak yang dapat diperolehi melalui internet. Biasanya maklumat ini banyak yang diperolehi dari negara luar. Oleh itu, masyarakat kurang berpeluang mengetahui secara jelas apa itu ‘Marfan Syndrome’ dan bagaimana penyakit ini telah beralih kepada tekanan mental bagi penghidapnya. Sepatutnya maklumat yang diperolehi daripada kajian ini boleh diabstrakkan kepada mana-mana pesakit yang mengalami keadaan yang sama atau hampir sama dengan pengalaman pesakit. Proses mengabstrak akan berlangsung secara sendiri bilamana seseorang pesakit itu melalui peristiwa yang sama dilalui oleh pesakit kes ini.

1.3 Tujuan Kajian
Hasil kajian ini, bolehlah dilihat bahawa pesakit yang mengalami penyakit yang asas boleh mempengaruhi kewujudan ‘mental disorder’. Perkaitan antara keduanya begitu rapat dan sukar dipisahkan.

1.4 Objektif Kajian
i). Untuk mengetahui kaitan ‘Marfan Syndrome’ dengan ‘Generalized Anxiety
Disorder’
ii). Untuk mengetahui tahap tekanan mental pesakit dan penderitaannya.
iii). Untuk melihat cara pesakit menghadapi tekanan mental yang dialami.


1.5 Persoalan Kajian
Kajian ini dijalankan dengan tujuan untuk mendapatkan seberapa banyak maklumat mengenai pesakit ‘Marfan Syndrome’ yang mengalami ‘Generalized Anxiety Disorder’.
i.) Apakah ‘Marfan Syndrome’?
ii.) Apakah ‘Generalized Anxiety Disorder’?
iii). Bagaimana keadaan pesakit pada peringkat awal?
iv). Bagaimana keadaan pesakit pada waktu sekarang?
v). Apakah rawatan yang telah diterima oleh pesakit?
vi). Bagaimana cara mengatasi tekanan akibat penyakit dan mental?

1.6 Definisi Operasional
Beberapa istilah untuk kegunaan kajian ini perlulah diperbincangkan terlebih dahulu. Pendefinisian istilah ini perlu dibuat agar skop perbincangan kajian ini mudah difahami. Istilah-istilah tersebut ialah:
i). ‘Generalized Anxiety Disorder’ ialah kecelaruan kebimbangan biasa
ii). ‘Marfan Syndrome’ ialah keadaan yang diwarisi yang memberi kesan
kepada tisu penyambung. Fungsi utama tisu penyambung ialah
memegang tubuh bersama dan menyediakan rangka untuk
tumbesaran dan perkembangan. Bagi kes Marfan Syndrome,
tisu penyambung cacat dan tidak berfungsi seperti sepatutnya.
iii). Peningkatan merujuk kepada adanya kemajuan atau perkembangan
setelah maklum balas tentang pengetahuan hasil diberi.
iv). Pencapaian menguasai sesuatu perlakuan setelah maklum balas tentang
pengetahuan hasil diberi.
v). Mengabstrak bermaksud boleh mengeluarkan dan menggunakan
maklumat yang sedia ada pada diri sendiri dan ianya adalah apa-apa
maklumat yang tersimpan yang diperolehi melalui latihan.

1.7 Kepentingan Kajian
Dapatan yang diperolehi melalui kajian kes ini boleh disebar luaskan kepada pengetahuan umum. Seseorang pesakit yang mengalami penyakit yang serius ‘Marfan Syndrome’ dan mendapat ‘Generalized Anxiety Disorder’ tidak semuanya berakhir dengan kegagalan dan tidak mendapat tempat dalam masyarakat.
Semangat melawan dan sokongan keluarga terdekat adalah senjata utama dalam mengatasi setiap tekanan yang dihadapi. Oleh itu, kejayaan ini bolehlah dijadikan simbol dan contoh kepada mereka di luar sana bahawa setiap penyakit itu ada penawarnya. Apa yang perlu ialah, kewajaran tindakan dan usaha yang berterusan tanpa putus asa.

1.8 Limitasi Kajian
Kajian ini hanya dijalankan ke atas seorang pesakit sahaja. Kajian ini dapat disiapkan dalam keadaan bersyarat iaitu pesakit mahu maklumat yang diberikan mestilah tidak mengumumkan namanya.
Faktor kekangan masa juga mempengaruhi dalam mendapatkan maklumat. Temubual hanya dapat diadakan di rumah subjek sekiranya rakan serumah telah pulang dari tempat kerja. Subjek lebih mementingkan adab pergaulan dan pandangan masyarakat setempat. Subjek tidak mahu kehadiran penyelidik menjadi salah erti kepada jiran-jiran yang sememangnya mengetahui tempat tinggal subjek hanya dihuni oleh kaum wanita.


Bahagian Kedua: Kajian Lampau

Wilhelm Wundt (1879) berpendapat bahawa pengalaman emosi boleh terhasil melalui beberapa kombinasi pengalaman yang tertentu seperti tenang-gelisah, tegang-santai, dan kegembiraan-kemurungan. Hal ini terbukti benar apabila kita melihat kepada tekanan hidup, iaitu kualiti, intensiti dan jangka masa tekanan di atas dimensi tenang-gelisah itu akan melahirkan beberapa emosi yang berlainan seperti takut, bimbang, cemas, gementar, anxieti, marah dan emosi berbentuk positif seperti suka,riang dan gembira. Keadaan yang dinyatakan oleh Wilhelm Wundt ini didapati benar sebagaimana apa yang berlaku ke atas pesakit ini.
Hans Selye (1956) telah memperkenalkan satu istilah bagi set tindakbalas iaitu ‘General Adaptation Syndrome’ (GAS) – Sindrom Adaptasi Umum. Terdapat tiga komponen dalam model stress ini iaitu komponen luaran, komponen dalaman dan interaksi antara komponen luaran dan dalaman. Bagi komponen luaran, ia melibatkan peristiwa persekitaran yang membawa pembentukkan stress dan menghasilkan tindak balas stress. Dalam komponen dalaman pula, Selye mendapati seseorang yang mengalami stress yang berpanjangan akan melalui tiga fasa iaitu reaksi amaran (alarm reaction), peringkat penentangan (stage of resistence) dan ‘Exhaustion’. Didapati pesakit dalam kes ini mempunyai persamaan dengan teori Hans Selye iaitu tindakan ‘melarikan diri’
Beck (1983) menyatakan bahawa motivasi adalah satu istilah yang menerangkan tentang beberapa variasi pada tingkah laku manusia seperti mengapa seseorang itu lebih tekun daripada individu lain. Mengikut definisi Chaplin (1985) pula motivasi bermakna angkubah-angkubah yang digunakan untuk menerangkan tentang faktor-faktor dalaman organisma yang membangkitkan dan mengarahkan tingkah laku ke arah sesuatu matlamat.
McClelland (1953) mengatakan bahawa setengah-setengah individu lebih berjaya daripada individu lain kerana mereka mempunyai keinginan pencapaian yang lebih tinggi. Keinginan atau kehendak ini memberi mereka motivasi untuk bekerja dengan lebih tekun supaya dapat mencapai apa yang diingini selama ini.

Metodologi

Menghubungi subjek dan membuat penetapan temujanji.
Meminta izin suami kepada subjek.
Menemubual secara langsung.
Membuat rumusan dan dapatan kajian.
Melaporkan hasil dapatan.

Perkara yang perlu diberi perhatian oleh ahli keluarga kepada pesakit
Jangan bersikap terlalu mengongkong.Jangan suka memberi kritikan negatif terhadap semua tindakan pesakit.Beri pesakit peluang berdikari dan membuat keputusan sendiri.Rangsang pesakit supaya dia bersemangat dan berfikiran positif.Elak membiarkan pesakit bersendirian dan bermuram.Bantu pesakit mengenal pasti masalah dan cari jalan penyelesaian.Timbulkan suasana gembira dan memasukkan pesakit dalam semua aktiviti keluarga supaya pesakit berasa dihargai.

Mengapa perlunya pemahaman mengenai sains sukan dalam kehidupan
Individu yang ingin meningkat dalam kesihatan memerlukan peningkatan potensi fizikal, mental dan sosial yang sedia ada pada diri mereka. Salah satu cara yang boleh membantu mereka mencapai kecemerlangan dalam kehidupan adalah melalui persiapan yang rapi yang lebih sainstifik serta mengikuti program-program latihan yang bersistematik.
Contohnya, latihan yang memberi penekanan kepada aspek-aspek kecergasan fizikal (fisiologikal) iaitu latihan daya tahan kardiovaskular, daya tahan otot, kekuatan otot, kelembutan otot, kepantasan, kuasa, imbangan, ketangkasan, masa tindak balas yang cepat dan koordinasi.
Pengetahuan dan mengaplikasikan sistem-sistem tubuh badan seperti sistem tenaga, sistem pernafasan, sistem saraf, sistem otot dan tulang, sistem endokrina, dan sistem-sistem yang lain dalam program-program latihan yang amat diperlukan.
Ahli-ahli fisiologi mengatakan bahawa kecergasan merupakan satu keadaan di mana seseorang itu mempunyai keupayaan untuk melakukan kerja hariannya tanpa kelesuan dengan penggunaan tenaga yang minima serta mempunyai tenaga lebihan untuk digunakan dimasa kesenggangan dan ketika dalam keadaan kecemasan.
Kecergasan didefinisikan sebagai kebolehan untuk menyaingi kehidupan yang seimbang dan lengkap. Ini secara keseluruhan melibatkan kecergasan social, kecergasan psikologi dan kecergasan fisiologi. Kesemua ini ditentukan pula oleh persekitaran, keturunan (baka) dan cara hidup seseorang itu.
Kesimpulannya, kita perlu mengetahui dengan lebih lanjut mengenai fungsi setiap bahagian badan bagi mengelakkan berlakunya masalah dalam setiap aktiviti. Oleh itu, pengetahuan pendidikan kesihatan dan aspek sains sukan amat penting bagi menangani masalah dalam kehidupan seharian.

Kesihatan Mental Itu Penting
Mereka yang mempunyai kesihatan mental yang baik merasa selesa dengan diri sendiri, merasa selesa dengan orang lain dan boleh memenuhi cabaran hidup seharian. Oleh itu, kesihatan mental seperti kesihatan fizikal, mesti dipromosikan dan dipertahankan.
Kesihatan mental adalah berkait dengan kehidupan seharian pada setiap orang.. Untuk itu, pesakit yang telah ditemuramah ini, perlu mengetahui dengan lebih lanjut megenai promosi kesihatan mental yang banyak dilakukan oleh pihak-pihak tertentu seperti kerajaan dan NGO.
Agensi seperti hospital, klinik, Jabatan Kebajikan, Lembaga Perancang dan Pembangunan Keluarga Negara, Kementerian Belia, Kementerian Pendidikan, Jabatan Agama. Agensi bukan kerajaan seperti Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia, Persatuan Ibubapa, Guru-guru dan lain-lain.
Promosi kesihatan mental adalah intervensi-intervensi yang dibentuk bagi membolehkan individu meningkatkan dan mengekalkan kesihatan mental yang optimum, kesejahteraan hidup dan melaksanakan fungsi-fungsi social. Intervensi-intervensi tersebut tertumpu kepada peningkatan status social, fizikal dan persekitaran ekonomi yang menentukan kesihatan mental dan kemampuan daya tindak individu dan masyarakat.
Kebanyakkan orang apabila mendengar perkataan kesihatan mental akan memikirkan tentang penyakit mental. Akan tetapi kesihatan mental adalah lebih dari sekadar ketiadaan penyakit mental. Kesihatan mental melibatkan semua orang tetapi penyakit mental hanya melibatkan sebahagian orang tertentu sahaja.
Kesimpulannya, kesihatan mental adalah bertujuan bagi mencegah penyakit mental daripada berlaku iaitu sejenis penyakit yang menyebabkan gangguan-ganggun teruk dalam pemikiran, perasaan dan tingkah laku. Gangguan-gangguan ini menyebabkan seseorang itu tidak mampu untuk menghadapi cabaran dan kehidupan seharian.
Identiti seseorang merujuk kepada tanggapan keseluruhan tentang kebolehan, tingkah laku dan personality seseorang. Imej diri yang dipamerkan adalah hasil dari pengalaman-pengalaman dan juga apa yang diinginkan berlaku terhadap diri tersebut.
Seseorang individu dengan kesihatan mental yang baik secara sedar mengenali keinginan, kebolehan, kekurangan, tanggungjawab, hak-hak, tindakan dan tujuannya dengan gangguan pemikiran yang minima.





Bentuk Fizikal Pesakit ‘Marfan Syndrome’


Marfan : Bentuk tangan kurus dan panjang Marfan : Bentuk badan posisi berdiri


Marfan : Bentuk tangan Marfan : Tulang tangan


Marfan : Wajah penghidap Marfan : Pandangan belakang kaki



Marfan : Pandangan depan kaki Marfan : Keadaan mata seperti juling



Marfan : Biji mata Marfan : Tangan pandangan sisi



Marfan : Bentuk kepala pandangan sisi Marfan : Peringkat bayi



Marfan : Wajah pesakit







Rujukan

Abdul Hamid Abdul Rashid (1992). Anatomi Umum. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
B.Sarjit Singh (1988). Buku Sumber Kecergasan Fizikal Persatuan Pendidikan Jasmani Malaysia (3rded).
Generalized Anxiety Disorder, sumber internet.
Hans Selye (1956), The Stress of Life. New York: McGraw-Hill.
Mahmud Nazar Mohamed (1992). Pengantar Psikologi, Satu Pengenalan Asas Kepada Jiwa Dan Tingkah Laku Manusia, Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Mohd.Hamim Rajikin (1988). Konsep Asas Tubuh Manusia. Dewan Bahasa dan Pustaka Kuala Lumpur.
Norlaila Hamima Jamaluddin (2007). Asma, Harian Metro.
Norlaila Hamima Jamaluddin (2007), Sakit Mental Serius, Berita Harian Online, Malaysia.
Norlaila Hamima Jamaluddin (2007), Cara Mudah Urus Tekanan, Berita Harian Online, Malaysia.
Norlaila Hamima Jamaluddin (2007), Schizofrenia, Kimia Otak Tak Seimbang, Berita Harian Online, Malaysia.
Marfan Syndrome, sumber internet.
Promosi Kesihatan Mental (2000). Manual Mesej Utama dan Sokongan, Kementerian Kesihatan Malaysia.
Sheikh Kamaruddin Sheikh Ahmad (2006). Keperluan Dan Aplikasi Sains Sukan. Majlis Sukan Negara, Malaysia.

1 ulasan:

Sang Penulis berkata...

Terima kasih atas perkongsian ini.. boleh bagi emel penulis?? kerana ada persoalan yg ingin diketengahkan..